Wednesday, October 7, 2015

RINDU


161 hari masih merindu. Rindu yang entah bila akan surut. Masih menghitung hari-hari sendiri. Hari-hari yang merindu. Hari-hari yang masih bertakung air mata. Hampir setiap malam, ku terjaga membuka mata di saat makhluk lain menyepi dalam lena tidur. Bukaan mata yang mengharapkan dia di sisi. Memeluk dia erat. Merenung ke wajahnya yang sedang tidur keletihan. Tersenyum sendiri melihat dia dalam tidur. Ku rindu saat itu.


Saat mereka melihat aku tersenyum. Ketawa. Mengusik. Ketahuilah, saat itu hati aku bagai disiat-siat. Tak mahu orang lain tahu. Nanti mulut-mulut neraka mula menghukum. Segala fatwa, mazhab mula tercipta. Sabar. Itu sahaja mampu. Sedangkan siatan hati mula mengalirkan darah pekat. Tak nampak. 



Sunday, June 28, 2015

Hari Enam Puluh

Hari ni genap 60 hari abang pergi. :)
Tadi saya pergi basuh kereta, nampak sorang lelaki naik moto.
Dari belakang macam abang sebiji.
Cara dia bawa moto, topi keledar dia pakai.
Ya Allah. sayu sangat.
Sungguh saya rindu abang

Semalam tengok tv.
Entah filem apa ditayang.
Tunjuk couple tu honeymoon kat Cameron Highland.
Apa couple tu buat, macam kita masa tu.
Tengok TV dengan mak abang, saya cuba tahan air mata saat tu.
Sebak sangat.
Family abang semua ada masa tu sebab tunggu masa berbuka puasa.

Abang,
Saya memang Redha abang pergi saat hari kejadian lagi.
Tapi rasa rindu pada abang tu...
saya minta maaf.
Saya tak dapat tahan dan simpan.
Air mata saya tak pernah kering untuk abang.
Saya pun pelik. huhuhu

Abang,
Ayah saya tak sihat sekarang.
Saya risau.
Risau Allah ambil ayah balik dalam masa terdekat.
Bukan saya tak redha.
Saya redha kalau tu ketentuan Allah.
Cuma saya takut saya tak kuat.
Tak kuat nak hadapi.
Tapi..
Kalau terjadi juga, saya tak ada pilihan.
Saya kena kuat.
Sebab keluarga bergantung harap pada saya saja.
Dulu abang janji nak hadapi sama-sama.

Akhirnya...
Hari ini..
Saya masih sendiri..
Sendiri menahan rasa.
Sendiri menyelesaikan segalanya.
Saya dah biasa.

Abang,
Rindu saya pada abang tak pernah terpadam.
Tiap saat.
Sampai harap masa tidur dapat jumpa abang.
Tapi..
Allah tak bagi kot.
Tak apa,
Saya tetap bersangka baik dengan Allah.
Allah sayang abang.
Allah sayang saya.
Allah sayang kita.
Assalamualaikum. :)

Thursday, June 11, 2015

Walimatul Urus

MAC 2015

Genap setahun perkenalan. Atas permintaannya, kami bernikah pada 27 Mac 2015. Berwali dan dinikahkan sendiri oleh ayahanda saya selepas 5 bulan mengikat tali pertunangan. 25 Oktober 2014. Bertunang sempena 1 Muharram 1436H. Hijrah kami ke kehidupan yang lebih baik.

Kenapa Mac? Sebab sempena setahun perkenalan kami dan sempena tarikh lahir saya.

Kalau ditanya macam mana boleh tunang. Jangan tanya. Sebab saya sendiri tak tahu bagaimana saya boleh bertunang dengan dia. Dia sendiri pun tak pasti bagaimana kami bersetuju bertunang. Jodoh bila Allah dah ditetapkan, kita sendiri takkan sedar.

Inilah kali pertama kami bergambar. Kali pertama saya menyentuh tangnnya, menyalami tangannya yang sejuk sebab gementar. hehe. OK, memang saya ketawakan dia. Tak ada setitis pun air mata masa akad nikah tu. Bukan main semangat masa di lafaz akad nikah. hehe. Pakaikan gelang tangan sampai 15 minit. Dia cakap, dia dah berlatih awal. Memang saya gelakkan dia. haha.


Wednesday, June 10, 2015

Assalamualaikum Cinta

Mac 2014

Entah. Dah lupa tarikh kali pertama kami kenal. Dia tegur dalam satu laman sosial. Itupun dalam komen. Masing-masing baru belajar guna. Saya ingat lagi, paling rancak bercerita bila saya letak gambar saya ke kenduri Kak Maya dengan masa MH370 hilang di pandangan. Cuma saling berbalas komen. Sehinggalah, dia ajak saya jumpa. Kononnya nak jumpa bulan April. Tapi Allah dah atur. Saya ke kenduri Kak Afnie (roomate di UUM) pada 29 Mac 2014 di Taiping. Dia beria minta tolong belikan Jeruk Madu Pak Ali sebab saya transit di Penang. Dan masa tu la kali pertama saya membuka mulut bercerita pada Awin. Dia insan pertama yang tahu pasal kami. Ya, saya juga belikannya 2 bungkus Jeruk Madu Pak Ali. Dengan syarat dia ambil jeruk tu di stesen bas Kangar.

Saya tahu, dia terlalu gembira. Sahabat baiknya sendiri mengaku. Allah, sebak saya. sepanjang perjalanan di dalam bas, dia tak henti-henti hantar chat tanya dan risaukan saya. Masih lagi tidak bertukar nombor telefon. Kebetulan atas aturan Allah, bas lambat sampai. Setiap saat mesej masuk di ruangan chat. Sampai saya rasa, eh, dia ni over dari bapak aku pulak. Sedangkan pada saat yang sama ayah saya menanti di stesen bas untuk ambil anak sulung dia ni.

Saat bas tiba, tak sempat driver tu nak brek lagi, dia dah semangat menuju ke bas saya. Allah, saya cakap, risau sampai macam tu ke? Saya masih lagi menganggap sebagai dia sebagai sahabat. Padahal bapak aku, takda la risau sampai macam tu. Saya turun bas, saya senyum. Ternyata dia tak cam saya. haha. Sebabnya? Dalam gambar saya nampak macam GEMUK? haha. Saya jenis tak suka berduaan dengan lelaki tak kenal tanpa urusan penting. Jadinya, saya cepat-cepat keluarkan jeruk dia tu.

K : Nah. Ambil ni.
R : Berapa?
K: Takyah! Takyah! Amik ja, kami belanja.

Saya tak pandang langsung wajah dia masa tu. Sebab saya memang jenis tu.  Dia terima juga lepas 2-3 kali lawan tolak. Lepas selesai urusan jual beli percuma tu, saya start nak cari ayah saya. Alih kepala belakang, eh! dia ni lagi? Apesal ikut aku ni?

K : Aik? Awat tak balik lagi? Pi la balik. balik lekaih sikit.
R : Ayah mana?

Sentap! Tak pernah saya sangka akan ada insan yang bertanya begitu dalam hidup saya. Dia ikut saya sampai saya jumpa ayah saya. Oih! macam mana nak bagi tau ni. Tak pernah seumur hidup buat macam ni. Tapi saya buat muka slumber juga, padahal garu otak dah masa tu. Pak Karim garang oi. Mananya tak takut. Tapi, dia dengan penuh adabnya, dia pergi salam ayah saya. Saat itu, saya mula jatuh hati dengannya. Ya, mungkin jika dilihat dari rupa masa tu, dia bukanlah lelaki idaman saya. 100% lari 400 meter dari pendirian saya sebelum ni. Saya mula sayu dengannya, tak sampai hati biar dia balik macam tu ja. Maka, saya pun ajak dia dan ayah makan walaupun saya kenyang dan letih.

Saat itu, barulah saya mengenali siapa dia sebenar. Sebelum ni saya hanya mengenal namanya. Itupun sebab dia bercerita dengan ayah. Saya? Cuma pendengar setia cerita mereka.

Balik tu, dia cerita, inilah kali pertama dia jumpa perempuan macam tu. Gementar semua ada. hehe. Ya, jelas sangat kat wajah dia masa tu. Muka cuak. hahaha. Allahuakbar. Saya rindu dia sepenuh hati saya.